CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, February 28, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH ~ 29 HARI

...Hari ni ibu kena pergi ambil sample darah untuk tranfusi darah anakanda untuk kali yang ketiga.. hb anakku rendah: 10. Doktor menyatakan bahawa segalanya memuaskan kecuali masalah hb(kepekatan darah). Jika dulu daku menjadi cuak dan sedikit cemas, namun kini pengalaman lebih membuatkanku tabah dan lebih bertenang. Insya Allah, doktor pun menyatakan ini ialah prosedur biasa dan masalah yang sering dihadapi oleh bayi pramatang. Walaupun begitu berat anakanda sudah naik 1.115 kg..alhamdulillah..syukur. :)
Doktor menyatakan jika segalanya baik, insya Allah anakku Aisyah tidak perlu lagi tinggal di bilik intensif, boleh dirawat di bilik intermediate selepas ini. Hari ni juga sejurus selepas transfusi darah selesai, ibu dan abah sempat membeli sedikit sebanyak pakaian anakku Aisyah. Kami juga telah meninjau barangan untuk persiapan menghias dan menyiapkan bilik istimewa untuk anak dara ibu abah ni..
Semoga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah dan anakku semakin sihat, terhindar daripada masalah kesihatan serta berat badannya semakin naik hari ke hari..

Insya Allah..Insya Allah... perkenankanlah doa kami ya Allah.... amiin ya rabb

Sunday, February 27, 2011

KONDISI TERKINI ANAKANDA AISYAH SUMAYYAH ~ 28 HARI


Salam pertemuan.. Alhamdulillah, syukur ya Allah..petang tadi baru dapat ibu melawat ankanda Aisyah di hospital setelah pulih daripada masalah kesihatan ibu sendiri. Rasa bersemangat dan secara tak langsung ibu rasa sihat tatkala melihat dan mengetahui keadaan anakanda yang semakin positif dan memberansangkan..alhamdulillah.. Hari ini juga daku dan suami dapat melihat wajah anakanda Aisyah Sumayyah dengan lebih jelas kerana tubuhnya tidak lagi dipenuhi dengan wayar-wayar ,hanya tinggal wayar/tiub untuk susu sahaja. Doktor menerangkan bahawa keadaan paru-parunya dan jantung juga semakin stabil serta berat badan yang memuaskan. Kahak pun sudah berkurangan dan anakku nampak stabil dan selesa tanpa bantuan sebarang mesin pernafasan lagi. Doktor memberikan kami kata-kata positif dan menyatakan bahawa anakku kuat semangat..insya Allah..ibu hanya mampu memberikan sedaya mungkin stok susu dan sentuhan kasih-sayang buat anakanda serta doa yang tidak putus daripada ibu dan abah. Daku juga amat bersyukur mempunyai keluarga, sahabat-sahabat yang juga tidak jemu mendoakan dan memberikan kata-kata peransang kepada kami. Hanya Allah yang mampu membalasnya..
Semoga Allah mengurniakan limpah dan rahmat kesihatan, perlindungan buat anakku Aisyah Sumayyah..amiin ya rabb

Thursday, February 24, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH ~ 25 HARI


Salam pertemuan untuk yang kesekian kalinya.. alhamdulillah, dapatku teruskan catatan pada hari ini setelah daku dan suami mengetahui kondisi terkini anakanda tercinta di hospital.
Pada hari ini, daku tidak berpeluang melawat anakku Aisyah Sumayyah di sana kerana keadaan kesihatanku yang kurang mengizinkan. Suamiku tercinta pergi bersendirian bertemu anakanda dan menghantar bekalan susu ibu. Syukur Allah, beratnya 1.060 kg dan anakku kelihatan sihat berseri hari ke hari~menurut suamiku..Menurut doktor, kondisi dan perkembangan yang lain adalah baik, cuma sayangku Aisyah belum mampu menelan air liur dengan baik, menyebabkan lendir dan kahak yang banyak dan perlu disedut melalui wayar , serta menganggu sistem pernafasannya. Oleh kerana itulah juga anakandaku masih perlu dibantu dengan mesin separuh disamping pernafasannya sendiri.
Anakku Luqman setiap hari bertanyakan adiknya dan daku mengajarnya berdoa untuk adiknya semoga adiknya cepat sihat dan boleh pulang ke rumah. Luqman sering menyebut nama adiknya walau belum pernah bersua..dan teruja memberitahu kawan-kawannya dia ada adik perempuan.. Adiknya Muaz pun ikut asyik menyebut nama adiknya.. Insya Allah, sampai waktunya..dengan izin Allah ,kami sekeluarga akan bersama dalam keadaan yang sihat sejahtera..
Ibu pula pada hari Khamis depan akan bertemu doktor pakar di MOPD bagi mengetahui kondisi terkini buah pinggang. Semoga segalanya selamat dan dikurniakan kesihatan daripada Allah.amiin ya rabb. ..

Tuesday, February 22, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH ~ 23 HARI


Salam pertemuan duhai blogku tersayang, wadah untukku meluahkan perasaan..
juga buat sahabat-sahabat di sana yang sudi membaca cebisan catatan coretan hati sebagai perkongsian. Terima kasih buat kalian yang tidak jemu mendoakan dan memberikan kata-kata semangat buatku dan anakku Aisyah Sumayyah. Betapa setiap kata-kata dan doa kalian sedikit sebanyak menguatkan semangatku ini.. Setiap kata-kata yang baik itu pastinya akan beroleh ganjaran pahala daripada Allah jua..
Pada petang tadi, kami baru sahaja menziarahi anakku Aisyah di ward. Alhamdulillah, anakku kelihatan aktif dan banyak minum susu..sampaikan habis stok susuku yang terdahulu dan doktor terpaksa memncampurkannya dengan susu formula-PREM. Kali ini penyusuan susu ibu menghadapi cabaran kerana anakku tidak menyusu secara terus,menyebabkan ransangan hisapan tiada..hanya distimulasikan dengan perahan sendiri oleh ibu..hasilnya sedikit berkurangan walaupun sebelum ini daku berpengalaman menjayakan ekslusif breastfeeding dan meneruskan penyusuan hingga 2 tahun anak2ku yang terdahulu. Setiap 2 jam, 13cc susu diberikan kepada anakku. Dah google n tanya doktor pakar,dan seterusnya ambil langkah ambil pil untuk tambah susu. Insya Allah,ibu boleh! Ibu lebih bersemangat apabila lihat berat anakanda sudah meningkat ke 1040 @ 1.040 kg berbanding 960g pada hari kelmarin. alhamdulillah..biarlah sedikit-sedikit pun..yang penting, anakku sayang sihat. Rawatan antibiotik untuk kuman pun baru sahaja selesai hari ini..insya Allah, semoga anakku Aisyah Sumayyah selamat dan terhindar daripada komplikasi yang lainnya seterusnya membesar dengan sihat dengan izin Allah jua,amiin

Sunday, February 20, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH ~ 21 HARI


ALHAMDULILLAH.. kami baru pulang daripada melawat dan menghantar stok susu ibu untuk anakanda Aisyah Sumayyah di ward. Syukur Allah..melihat keadaannya yang semakin stabil dan pertambahan berat badan yang memberansangkan walaupun masih sedikit demi sedikit. Jururawat yang menjaga anakku sering menyatakan bahawa anakku memang aktif,alhamdulillah.. Betapa daku menghitung hari untuk bersua selang sehari dengannya. Hari ini tepat usianya 3 minggu..syukur diizinkan Allah untuknya di dunia fana ini dan diizinkan Allah baginya memperoleh susu ibu yang disalurkan melalui tiub ke tubuhnya. Wajahnya juga sudah semakin jelas kelihatan, bibirnya juga sudah kelihatan merah jambu dan kulit,tubuhnya sudah semakin baik sebelum sebelumnya.Kami berdoa semoga kondisinya semakin baik hari ke hari dan dilindungi Allah daripada sebarang penyakit. Bak kata doktor, oleh kerana keadannya yang pra matang, sangat terdedah dengan pelbagai risiko dan kuman. Memakan masa untuk membina antibodi yang kuat. Semoga semangatnya kuat dan diizinkan Allah untuk pulang dengan sihat sejahtera ke pangkuan kami sekeluarga satu hari nanti...insya Allah..

Saturday, February 19, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH ~ 20 HARI




Alhamdulillah..petang semalam kami telah pergi ke hospital untuk mengetahui keadaan terkini anakku yang baru menjalani tranfusi darah pada sebelah paginya. Syukur ya Allah keadaannya semakin stabil dan doktor memberikan kata-kata semangat dan positif kepada kami. Anakku Aisyah memang aktif dan insya Allah dalam masa terdekat ini akan digantikan semula mesin oksigen separuh dan pernafasannya sendiri. Bagi jangkitan kuman pula, doktor telah dan sedang merawatnya dengan rawatan antibiotik.
Pertambahan berat badan yang sedikit demi sedikit serta jumlah pemberian melalui tiub susu ibu yang ku bekalkan setiap hari pun sudah bertambah kepada 12mls/cc setiap 2 jam. Daku sedang berusaha menambahkan stok susu buat anakanda tercinta. Semoga Allah permudahkanlah..

Friday, February 18, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH ~ 19 HARI

Terkini.. tatkala daku menaipkan bait-bait perkataan ini, usia anakku sudah 19 hari (18 Febuari 2011) dan sebentar lagi kami akan ke NICU bagi melihatkan keadaan terkini anakku yang dijadualkan telah menjalankan tranfusi darah pagi tadi..Ibu sentiasa terbayang-bayang di mata wajah dan pandangan matanya yang sekali sekala membuka kelopak mata melihat dunia.. Akan ibu belaimu dengan penuh kasih sayang..Semoga anakku Aisyah Sumayyah semakin sihat dan dipelihara oleh Allah..Amiin ya Rabb..

Thursday, February 17, 2011

KONDISI TERKINI ANAKKU AISYAH SUMAYYAH

17 Febuari 2011 sekali lagi doktor menghubungi kami menyatakan bahawa sekali lagi sample darahku hendaklah diambil bagi tranfusi darah anakku.. Kali ini, HB (kepekatan darah) anakku turun semula dan hasil ujian darahnya yang terkini mengenalpasti bahawa anakku mengalami jangkitan kuman di dalam darah. Doktor menceritakan bahawa keadaannya pada malam semalam agak kritikal dan anakku kelihatan agak keletihan. Doktor terpaksa memberikannya oksigen sepenuhnya daripada mesin akibat kondisi terkini anakku..Kasihan anakku Aisyah..

Part 7-Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH


..KONDISI ANAKANDA AISYAH SUMAYYAH DI WARD NICU, KUALA TERENGGANU..
..Alhamdulillah..selang sehari,daku dan suami akan tetap pergi menjenguk puteri tercinta. Pada 4 Februari kami menerima panggilan daripada pihak hospital menyatakan bahawa penyakit kuning anakanda tinggi dan memintaku segera ke hospital bagi mengambil sample darah bagi pemindahan darah kepada anakku segera. Dengan segera kami ke sana dan setelah sample darahku diambil, ujian darah dilakukan bagi mencari darah yang sesuai di bank darah dan bersedia untuk pemindahan darah. Oleh kerana jangkamasanya agak lama, kami memutuskan untuk pulang dahulu ke rumah dan akan kembali semula ke hospital keesokan harinya. Doa tidak pernah putus buat anakanda tercinta semoga keadaannya menjadi semakin baik.
Alhamdulillah..keesokan harinya kami diberitahu oleh doktor bahawa tranfusi darah tidak jadi dilakukan kerana kuningnya telah rendah. Syukur, ya Allah.

Doktor juga telah menerangkan masalah bayiku: 1)PREMATURED(PRA MATANG)-terdedah dengan pelbagai risiko; 2)KURANG BERAT 3)ADA BUNYI DI JANTUNG(masalah jantung, namun ambil masa untuk lubang di jantung tutup sendiri, dan akan menjalani rawatan selepas keadan bayi telah stabil kelak. 4)KAHAK- kesukaran menelan sendiri air liur/kahak kerana bayiku masih kecil.,terpaksa menggunakan bantuan pernafasan separuh walau bayiku berupaya bernafas sendiri.

9 Februari, sekali lagi doktor menghubungiku supaya segera ke hospital. doktor memberitahu bahawa anakku kelihatan pucat dan menerangkan bahawa HBnya sangat rendah. Sekali lagi sample darahku diambil bagi menganalisis kesesuaian darah di bank darah. Alhamdulillah, pemindahan darah anakku berjaya dan keadaannya beransur stabil. Hari ke hari..daku berdoa dan terasa penuh debaran didada sentiasa tatkala memikirkan kondisi anakku di sana.. Ya Allah selamatkanlah anakku..

Part 6- Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH

..Pada 31 Januari, daku gagahkan diri untuk pergi melihat anakku tercinta buat kali pertama di wad NICU. Suamiku meminpinku dengan menaiki wheelchair. Walaupun daku baru sahaja menjalani pembedahan, namun ku gagahi jua diri walau tubuh terasa kurang berupaya untuk duduk dan menegakkan badan apatah lagi ini adalah kali kedua daku melahirkan anak secara caeser. Tatkala bersua anakku Aisyah Sumayyah buat kali pertama, syukurku panjatkan pada Allah atas nikmat dugaan kelahiran dan penuh kesyukuran, anakku selamat lahir ke dunia ini.. Betapalah hati seorang ibu dan abah..tatkala menyentuhnya,membelainya dan melihatkan kondisi anakku yang kelihatan sangat kecil, tidak bermaya dengan bantuan pernafasan sepenuhnya daripada mesin. Menitis jua air mataku kerana kasih ibu melihatkan keadaannya.Hanya doa dan tawakal hamba supaya Allah memelihara dan melindungi anakanda..
..Keesokan harinya daku telah discaj daripada wad.. Walaupun hatiku berat untuk meninggalkan anakku Aisyah Sumayyah, namun ku akur demi insan-insan tersayang yang menantiku.. Sayangku Luqman dan Muaz, memelukku erat dan anakku Muaz seakan kebingungan lantaran 22 hari tidak bersua denganku.. Suamiku jua tidak dapat membendung airmata melihat betapa kerinduan anakanda kepada ibunya.. Pulang ke rumah, daku masih asyik memikirkan keadaan anakku Aisyah yang dirindui.. Insya Allah, ibu dan abah akan datang sekerapnya walaupun jarak memisahkan kami dengan anakanda tercinta..

Tuesday, February 15, 2011

Part 5- Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH


Alhamdulillah..syukur ya Allah..Pada 30 Januari 2011, jam 1.44PM, anakku telah selamat lahir ke dunia secara caesearean(pembedahan). Daku yang sudah sedia maklum bahawa anakku akan dimasukkan ke NICU segera kerana tidak cukup bulan dan kurang berat hanya dapat mendengar tangisannya walau sebentar cuma. Doktor di dalam dewan bedah memakaikan tag dan memberitahu bahawa daku selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Airmataku tidak dapat ku bendung lagi.. setelah segalanya selesai, daku ditempatkan semula ke bilik PE untuk rawatan lanjut. Suamiku telah datang mengucupi dahiku dengan penuh kesyukuran pada Allah. Dialah insan yang paling gembira dengan kelahiran puteri yang didamba selama ini.
Doktor telah memaklumkan kepada kami bahawa anakku masih kurang stabil kerana
beratnya yang kurang, 980grams dan kelahiran pramatang yang bakal menghadapi pelbagai risiko. Kami tabahkan jua hati, apalah daya upaya kami ya Allah..hanya mampu berdoa dan bertawakkal padaMu..segalanya terletak ditanganMu jua..

Part 4- Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH


..Di HSNZ..rawatan demi rawatan, ujian demi ujian, scan yang berulang kali yang dibuat hari demi hari bagi mengetahui kondisi terkini daku dan kandunganku..hasilnya, semakin hari keadaanku & kandungan semakin hari semakin meruncing. Akhirnya doktor pakar memberikan kata putus untukku, untuk bersedia untuk kelahiran awal kerana kondisiku. Pada 27 Januari, doktor pakar bahagian buah pinggang telah datang menemuiku di ward dan menyatakan hasil ujian urine 24 hours, kesan BP yang tinggi dan lain2nya telah menyebabkan buah pinggangku bocor. Doktor menyatakan bahawa ujian sekali lagi dan scan hanya dapat dilakukan setelah daku selamat melahirkan anak yang ku kandung nanti..Daku menerimanya dengan redho..apalah daya upayaku lagi..segalanya daripada Allah jua.
Daku hanya mampu berdoa dan menghitung hari..sehinggalah sampai tahap kemuncak penyakitku. pada subuh 30 Januari, daku mengalami kesakitan yang teramat di ulu hati dan dada serta sakit kepala yang tersangat. Jururawat yang baik hati di sana, mengurut dan menemaniku tanpa jemu. Tekanan darah yang tidak terkawal sehingga mencecah ke 180/120 dan ujian tendon hammer menunjukkan bahawa daku semakin kritikal.
Akhirnya, daku dikejarkan ke bilik gelap (PE Room) di mana seorang jururawat akan mengawasiku 24jam. Doktor pakar telah sepakat memberi persetujuan untuk membuat pembedahan segera untuk mengeluarkan bayi dan mereka menerangkan bahawa jika daku tidak bersalin awal, akan membahayakan kedua-dua nyawa.daku akur dan redho..jika itulah yang terbaik untukku..

Monday, February 14, 2011

Part 3-Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH


. ..segalanya berjalan lancar sehinggalah kehamilanku berusia 26 minggu. ederma (bengkak) dan tekanan darahku mula naik. doktor menasihatiku supaya banyakkan berehat dan peringatan tentang sejarah PE ku. daku menjangkakan , mungkin tekanan darahku naik dek kesibukan harianku. 2 minggu berikutnya, daku pergi ke klinik kesihatan bagi menjalani pemeriksaan bulanan. walau dalam hatiku berdebar-debar..semoga tekanan darahku beransur normal kali ni . Akhirnya daku redha, urine albuminku 2+ dan tekanan darahku yang tinggi serta sembab pada tubuhku yang semakin nyata membuatkan doktor tanpa berlengah memberitahu bahawa daku terpaksa direfer ke hospital daerah bagi pemantauan lanjutan. Di hospital setiu, daku sempat duduk semalamam di ward. Ujian demi ujian dilakukan..kehendak Allah jua, kondisiku semakin teruk,.bpku naik sehingga 150/100. akhirnya daku pasrah..sekali lagi daku dibawa dengan menaiki ambulan ke HSNZ. betapa sedihnya diri,lantaran tidak berkesempatan mengucapkan selamat tinggal dan peluk cium terakhirku buat anak-anak yang kutinggalkan, terutama anakku Muaz yang masih kecil serta manja dan tidak pernah berenggang denganku..tabahlah hati ini,ya Allah.. Di HSNZ, tekanan darahku semakin tinggi dan urine albumin 3+. Keluarga dan rakan-rakan yang menziarahiku menyatakan bahawa wajah&tubuhku semakin sembab. Semasa disana juga ujian darahku (PE Profile) menunjukkan urine asidku terlalu tinggi dan daku telah diminta untuk mengumpulkan urine 24 hours bagi mengetahui ujian kesihatan buah pinggangku.
selang sehari ujian PE profile dan tahap urine albumin semakin meruncing sehingga 4+. Ujian Scan juga menunjukkan bahawa kondisi kandunganku semakin bermasalah. Doktor pakar telah menetapkan untukku bersalin awal jika ada simptom2 IE (pedih ulu hati, pandangan kabur, bp trllau tinggi dll). Daku redha dengan ujianMu ya Allah..
Kunjungan,doa dan kata-kata peransang daripada ahli keluarga dan sahabat-sahabatku yang datang menziarahiku, terutama ibu & abah, warga tempatku berkhidmat, terutama guru besar dan semua memberikanku sedikit sebanyak semangat supaya daku tabah. Adik-beradikku telah datang menziarahiku walaupun dari jauh, membuatkanku terharu... hanya Allah yang dapat membalas segalanya...

Part 2-Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH


Awal bulan Ogos 2010, daku disahkan hamil setelah membuat pemeriksaan kehamilan sendiri di rumah . Berita itu disambut gembira oleh abah yang benar-benar berkeinginan menambah cahayamata pelengkap keluarga. waktu itu , anakku Muaz sudah berumur hampir 2 tahun pada bulan itu juga. Anakku Luqman pula berumur 5 tahun di hujung tahunnya. Sepanjang kehamilan, daku tidak menghadapi masalah alahan dan badan terasa ringan. Wajahku juga tidak kusam seperti sebelmnya. Sahabatku ada yang dapat merasakan bahawa ibu sedang hamil anak perempuan. Bagi ibu abah, tidak kira samaada lelaki atau perempuan, itulah zuriat kami ynag diterima dengan hati terbuka,.kami pohon pada Allah, semoga anak yang dikandung sihat sempurna. kadangkala timbul jua kerisauan dihatiku tentang sejarah kehamilan yang terdahulu-anakku Luqman & Muaz: risiko Pre-Ecklampsia (pra sawan mengandung) yang telah ku alami dulu. Namun , ..kerana Allah jua daku memberanikan diri untuk menambah zuriat yang kami niatkan untuk di didik sebaiknya demi agamaNya.. itulah niat kami suami isteri semasa mula mendirikan baitulmuslim hampir 6 tahun yang lalu..apatah lagi kali ini kami berikhtiar untuk mendapatkan cahayamata perempuan; dek memahami kondisi diriku yang berisiko tinggi,tidak digalakkan untuk mendapatkan zuriat yang ramai. Namun segalanya terletak ditangan-Nya jua. ..

Monday, February 7, 2011

Part 1- Ceritera Kelahiran Anakku AISYAH SUMAYYAH




Alhamdulillah.. tanggal 30 Januari 2011, jam 1.44pm kelahiran puteri cahayamata yang didamba abah ibu. Syukur, ya Allah.. cahayamata ketiga pelengkap keluarga,penyambung zuriat ibu & abah. Betapa syukur padaMu ya Allah, anakanda selamat lahir ke dunia ini menghiasi keluarga ini. Disebalik kelahiranmu dan tangisanmu tatkala lahir ke dunia, 1001 kisah yang akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Bagi ibu & abah.. kelahiranmu mmbawa hikmah, nikmat yang tidak terhingga yang hanya dilihat dan direnung dengan mata hati..syukur ya Allah..